Cara Tanam Pisang Berangan Agar Berbuah Super Lebat Dan Subur



Musim kemarau yang melanda baru-baru ini menyebabkan banyak tanaman musnah, tidak terkecuali tanaman pisang saya ada yang terbantut pertumbuhannya serta ada pokok yang tumbang sebelum buahnya matang, rasanya disebabkan cuaca yang terlalu panas menyebabkan pokok pisang tidak tahan dengan haba yang extreme.

Namun ia tidak mematahkan semangat untuk saya terus berbakti pada tanah. Baru-baru ini saya ada menanam beberapa lagi jenis pisang termasuk pisang Raja Udang (isi merah) sebagai koleksi peribadi.

Tanaman pisang tidak perlu penjagaan yang rapi seperti durian, cukup sekadar membaja sekali dalam 3 bulan dan kawalan rumpai. Namun perlu berhati-hati dengan penyakit yang menyerang daun pisang kerana ianya boleh berjangkit ke pokok yang lain menyebabkan pertumbuhan terbantut.

Artikel kali ini saya kongsikan cara dan pengurusan tanaman pisang berangan, pisang kegemaran ramai rakyat Malaysia. Kebanyakan pasar ada menjual pisang jenis ini kerana rasanya yang enak dan sedap.

CARA MENANAM PISANG BERANGAN
.
Maklumat ini diperolehi daripada seorang pengurus ladang pisang yang menjaga Ladang Pisang seluas 65 ekar di Johor. Katanya setiap pokok pisang hanya dikekalkan dengan 8 daun sahaja. Jika lebih 8 perlulah di cantas supaya buah pisang mendapat makanan secukupnya.

Untuk pisang berangan, buah hanya dikekalkan 10-12 sikat sahaja, selebihnya dibuang bersama jantung. Ini penting bagi menghasilkan buah yang besar dan berat yang maksimum.

Setiap tandan pisang perlu dibungkus dengan menggunakan kertas daripada jenis kertas simen atau kertas pembungkus dedak ayam. Gunakan staple dan ditutup dengan rapat sehingga hujung pisang.

Apabila jantung pisang keluar, bilangan daun hanya dikekalkan sebanyak 6 helai sahaja. Anak pisang pertama hanya dibela apabila jantung pisang sudah keluar sahaja bagi mendapatkan pokok ibu yang benar-benar subur dan sihat.

Setelah jantung pisang dipotong, daun hanya dikekalkan 4 helai sahaja. Apabila jantung telah keluar, hentikan pembajaan pada pokok bagi mengelakkan buah pisang yang mengkal atau keras dan kualiti pisang jatuh.

Dari segi pembajaan, letakkan baja penggalak akar atau hormon akar dalam lubang sebelum menanam benih pisang. Setelah umur 3 bulan tabur baja subur NPK 15:15:15 yang boleh di beli di kedai pertanian atau nurseri buah-buahan.

Setelah pokok pisang masuk umur ke 6-7 bulan, tabur dengan baja penggalak buah 12:12:17:2. Kadar baja hanya segenggam atau 250gram bagi setiap pokok.

Bahagian merumput pula, gunakan baja sentuh ICI atau BASTA. ELAKKAN gunakan racun serap. Pokok tidak perlu ditajak atau di cangkul untuk merumput, cukup memadai hanya meracun sahaja.

Tanah juga tidak perlu digemburkan di sekeliling pokok bagi mengelakkan pokok tumbang. Untuk meracun, sukatan bancuhan adalah 70ml bagi 18 liter air. Pasikan bancuhan dikacau hingga sebati sebelum digunakan bagi mendapatkan kesan yang maksimum dan berkesan.

Benda terakhir yang anda perlu utamakan ialah kawalan penyakit. Jika daun pisang berkarat kuning atau batang pisang berbintik-bintik hitam dan berlendir akibat serangan kulat sembur dengan bancuhan kapur seluruh pokok hingga pokok menjadi putih hasil dari semburan racun tadi. Lakukan semburan beberapa kali sehingga penyakit hilang.

Buah boleh dipetik apabila 2-3 daun telah kering atau layu.

Selamat mencuba! jangan lupa follow fb saya Donny bin ien dan like page Pertanian satu Perniagaan.

Cara Tanam Pisang Berangan Agar Berbuah Super Lebat Dan Subur Cara Tanam Pisang Berangan Agar Berbuah Super Lebat Dan Subur Reviewed by Donny Ien on 20:42 Rating: 5

No comments